Menurut beliau, ketika ini, hanya kira-kira 1,400 infrastruktur terbabit berdaftar dan dipercayai jumlah yang masih belum berdaftar mencecah dua kali ganda angka itu.

“SPATA merupakan aplikasi teknologi komunikasi yang diwujudkan bagi memberi kemudahan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi untuk berurusan dengan agensi-agensi kerajaan tempatan berkaitan proses audit keselamatan dan pembaharuan permit bagi struktur telekomunikasi di Perak.

“Menerusi SPATA, pihak berkaitan boleh memuat naik maklumat yang terkini mengenai status aset telekomunikasi mereka menerusi aplikasi atas talian atau aplikasi mudah alih yang telah disediakan,” katanya selepas melancarkan sistem tersebut di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perak Implementation and Coordination Corporation, Mohd. Nazaruddin Mohd. Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif OP Global Link Sdn. Bhd., Sofia Akzan Amir.

Nolee berkata, sistem itu juga akan membantu kerajaan mengurangkan ketirisan pendapatan yang sepatutnya diterima oleh PBT daripada pendaftaran menara-menara telekomunikasi tersebut.

“Sistem itu juga membolehkan audit keselamatan ke atas aset-aset syarikat telekomunikasi dilaksanakan sebelum permit mengikut ketetapan undang-undang negeri. Audit keselamatan penting bagi memastikan aspek berkaitan keselamatan awam dan alam sekitar dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, perlaksanaan sistem tersebut akan menjadi pusat sehenti dalam memperingkatkan kaedah penyampaian perkhidmatan dan segala urusan kepada semua pihak berkaitan. - UTUSAN ONLINE