Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, hal ini kerana daripada 4,098 permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan oleh penduduk Sarawak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, sebanyak 1,214 daripadanya terpaksa ditolak akibat masalah berkaitan pengangkatan anak.

Beliau berkata, ketika ini, proses pengangkatan anak adalah di bawah bidang kuasa Pegawai Daerah, namun tiada SOP seragam untuk diguna pakai atau dirujuk oleh pejabat daerah di setiap kawasan.

“Antara isu menyebabkan permohonan gagal adalah soal pengangkatan anak tiri yang tidak dibuat secara prosedur formal dan anak tidak sah taraf kerana ibu bapa tidak berkahwin.

“Justeru, kita telah meminta Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak agar merangka SOP bagi proses pengangkatan anak untuk diguna pakai di seluruh Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Dr. Abdul Rahman Ismail.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, daripada 4,098 permohonan yang dibuat setakat 31 Disember tahun lalu, hanya 2,884 permohonan diluluskan.

Katanya, 1,297 permohonan gagal kerana dikesan tidak mempunyai dokumen atau masalah status kewarganegaraan.

“Hasil semakan mendapati, 687 permohonan merupakan warganegara, 79 lagi bukan warganegara, 96 belum ditentukan (anak dilahirkan luar perkahwinan) dan 435 maklumat tidak tepat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pendidikan telah menjalinkan kerjasama strategik untuk mengesan murid yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau turut mengesa tuai rumah dan ketua kaum agar memastikan semua masyarakat pribumi yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri supaya membuat permohonan.

Pada Ogos 2015, Jawatankuasa Mengenai Dokumen Pengenalan Diri Penduduk Sarawak ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berkaitan dokumen pengenalan diri yang sering dihadapi penduduk di negeri ini. - UTUSAN ONLINE