Program dua hari itu yang bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Unit Integriti Kolej Burhanuddin Helmi; Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Pendidikan negeri.

Ketua projek, Prof. Datuk Dr. Rashila Ramli berkata, sebelum ini YLMC sudah dilaksanakan di 54 buah sekolah menengah di negeri ini dalam usaha meningkatkan kefahaman dan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Katanya kali ini pertama kali didedahkan kepada murid sekolah rendah dengan harapan pendekatan berbentuk budaya tempatan mudah diterima dan difahami oleh murid tahun lima sekolah tersebut.

Menurutnya, 20 pelajar institut pendidikan tinggi itu dan lima orang pensyarah UKM turut terlibat bersama program tersebut sempena Operasi Khidmat masyarakat (OPKIM) UKM yang memberi fokus membantu murid dalam kefahaman Bahasa Inggeris.

“Selama dua hari murid-murid diperkenalkan kepada aktiviti kebudayaan tempatan iaitu Mak Yong, tarian dan muzik tradisi selain mendekati keindahan alam sekitar bertempat di Pantai Bukit Keluang, “ujarnya.

Sementara itu murid-murid yang menyertai program itu cukup teruja apabila diberi peluang menyediakan kostum untuk persembahan May Yong dengan abang dan kakak mereka yang terdiri daripada pelajar UKM itu.

Hari kedua esok peserta akan menziarah dan menyantuni golongan warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas Kampung Raja. - UTUSAN ONLINE