Dalam majlis yang diadakan di SK Air Merah di sini semalam, seramai 20 orang murid dan empat orang guru dari Korea Selatan hadir, yang diketuai Pengetua Sin Dong Woo dari Songhwa Elementary School dan Pengetua Kim Gi Seon dari Dochon Elementary School.

Ia diadakan sempena Program The 7th International Friendship And Cultural Camp IACE: ALCOB School Network Project 2019.

Guru Besar SK Air Merah, Sabarina Said berkata, sepanjang empat hari berada di negeri ini, kumpulan pelajar dan guru dari negara itu berpeluang untuk mempelajari seni silat dan cara-cara membuat tanjak.

"Pada masa ini, hanya SK Air Merah sahaja ada membuat perjanjian perkongsian pintar dalam hal kebudayaan dan saya berharap sekolah lain juga boleh menyertai program begini pada masa akan datang.

"Pada Disember 2019 nanti, seramai 14 orang murid dan lima orang guru sekolah ini bakal membuat kunjungan balas di dua sekolah di negara berkenaan iaitu di Busan dan Dochon pula," tambah beliau.

Yang turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) daerah Kulim/Bandar Baharu, Rosdi Abu Bakar dan Pengarah Pembangunan Kemajuan Masyarakat Majlis Perbandaran Kulim (MPK), Zaidi Zainon. - UTUSAN ONLINE