Bagi Umat Islam di ibu kota, ramai menyambutnya dengan mengambil cuti panjang semata-mata untuk berbuka dan bersahur bersama keluarga.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tahun ini cukup bermakna kerana hari pertama puasa jatuh pada hari bermulanya cuti sesi persekolahan.

Dalam keterujaan merai dan menjalankan salah satu Rukun Islam itu ada sisi lain menje-lang Ramadan yang terus menjadi kebimbangan dan kerisauan kalangan warga kota.

Ini terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antaranya, isu mengenai kenaikan harga barangan ter-tentu menjelang Ramadan. Sikap segelintir peniaga tidak bertanggungjawab yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang sesuka hati benar-benar merungsingkan mereka.

Bagaimanapun melalui Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di seluruh negara selama 10 hari bermula semalam hingga 31 Mei ini sedikit me-legakan.

Skim ini pertama kali dilaksanakan itu bertujuan menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga menjelang dan semasa Ramadan.

Selain kacang tanah dan kacang hijau turut tersenarai dalam skim tersebut termasuk telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.

Sisi lain yang turut dikongsi warga kota setiap kali menjelang Ramadan berhubung kekerapan gangguan bekalan air .

Penulis difahamkan, sejak dua minggu lalu beberapa kawasan di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sekitar Semenyih, Kajang dan Bandar Sri Permaisuri, Cheras sering terputus bekalan air.

Kalangan penduduk mendakwa masalah itu berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian dan benar-benar mencetuskan panik jika tahun ini mereka terpaksa menyambut Ramadan dalam keadaan ketiadaan air.

Penulis percaya, satu fasa menyakitkan dan menyukarkan terpaksa dilalui penduduk di kawasan terlibat sepanjang Ramadan ini jika pihak bertanggungjawab terus berdiam diri dan tidak melakukan sesuatu.

Dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ramai yang ‘kurus’ puasanya gara-gara bengang dengan masalah yang tiada kesudahan ini.