Bagaimanapun, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertiwi Soup Kitchen memilih untuk mendekati golongan berkenan dan memberi bantuan makanan sejak tahun 2010. 

Langkah itu bagi memastikan golongan kurang bernasib baik itu dapat menikmati makanan yang sihat dan berkualiti. 

Wartawan Utusan Malaysia, Normairah Yuhanis Jamaluddin menemubual Naib Presiden Pertiwi Munirah Hamid yang merupakan orang kuat di sebalik NGO itu. 

Wanita itu telah melibatkan diri dalam dunia sukarelawan sejak berumur 17 tahun dan semangat untuk membantu golongan miskin sebenarnya bermula di Alor Setar, Kedah pada tahun 1955.

 

Utusan Malaysia: Bagaimanakah tercetusnya idea untuk memberi bantuan kepada golongan gelandangan?

Munirah: Saya bermula sebagai sukarelawan Pertiwi sejak awal penubuhannya iaitu pada tahun 1967. Menyedari golongan gelandangan kekurangan makanan yang berkhasiat saya mulakan projek baharu iaitu Pertiwi Soup Kitchen yang diselia di bawah jagaan saya pada tahun 2010. Projek ini juga dibuat bagi mengumpul semula kawan-kawan sekolah saya dalam projek kebajikan.

Bagaimanakah dana di­pe­roleh kerana difahamkan jumlah makanan yang diberi setiap malam mencecah sehingga 700 bungkus?

Sumbangan yang kami peroleh sepanjang projek ini dimulakan kebanyakannya datang daripada individu dan badan bukan kerajaan (NGO). Alhamdulillah,­ sehingga kini masih ramai yang menghulurkan­ sumbangan.

Sepanjang program ini dijalankan sejak tahun 2010, apakah perubahan positif yang dialami oleh golongan gelandangan?

Saya bersyukur kerana sejak kami memberi bantuan makanan kepada golongan tersebut, kanak-kanaknya lebih sihat. Masalah gatal kulit dan kurap juga hilang. Selain makanan, kita juga mempunyai doktor bagi merawat mereka yang demam dan sakit.

Siapakah sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen?

Sukarelawannya terdiri daripada orang perseorangan, ahli korporat, pelajar dan ramai lagi yang ingin sama-sama membantu golongan gelandangan.

Difahamkan Pertiwi Soup Kitchen memberi bantuan hanya di sekitar ibu kota. Adakah mempunyai perancangan­ untuk meluaskannya ke kawasan lain?

Sememangnya kami bercadang memberi khidmat di kawasan lain pada masa akan datang. Selain itu, kami juga membantu mangsa-mang­sa banjir di Pantai Timur dari segi membersihkan rumah atau apa-apa bantuan lain yang diperlukan. Membersihkan rumah selepas banjir sangat­ mencabar ke­rana diselaputi lumpur yang tebal.

Apakah matlamat yang ingin dicapai melalui program bantuan makanan ini?

Harapan kita supaya mereka yang tiada tempat tinggal sekurang-kurangnya masih dapat makanan, rawatan yang asas dan peluang untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Kita cuba dengan memberikan motivasi kepada mereka.

Bagaimana jika ada yang berminat menjadi sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen?

Mereka yang ingin menyertai aktiviti kami boleh melayari laman web, pertiwi.org.my atau mengikuti aktiviti kami di laman sosial Facebook. Boleh juga hubungi saya 012-236 3639.