Tawaran khidmat secara percuma bagi membantu kerajaan negeri itu dibuat oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, dan beliau yakin masalah yang antara lain dikaitkan dengan sistem hidraulik dapat diatasi.

“Jika diizinkan saya akan hantar dua orang jurutera secara bagi memberi khidmat secara percuma kerana kenderaan ini (amphicoach) adalah milik rakyat yang boleh kita selesaikan dalam masa singkat.

“Saya mohon kerajaan negeri uruskan penghantaran jurutera kita ke sana (Malta) dan beri masa pada kita dua minggu,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai reaksi kepada cadangan Syed Azman semasa mengemukakan soalan tambahan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya menyambut baik tawaran tersebut dan akan mengaturkan urusan itu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Terdahulu, ketika menjawab soalan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih), Ahmad Razif menjelaskan berlaku kelewatan penghantaran satu unit kenderaan berkenaan yang bernilai RM3 juta ke Terengganu berikutan masalah pada sistem hidraulik.

Selain itu, jelasnya, juga disebabkan proses ujian serta pensijilan kenderaan terbabit yang masih tertangguh kerana faktor cuaca di negara berkenaan namun beliau menjangkakan akan tiba Jun ini.

Bas amphicoach yang ditempah pada tahun 2014 sepatutnya tiba di negeri ini setahun kemudian, dan kelewatan penyerahan mulai menjadi isu malah pihak pembangkang turut membuat laporan polis baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE