DATUK SERI DR SHAHIDAN KASSIM

Setiap kali pilihan raya, BN boleh dikatakan menyapu bersih kesemua tiga kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar.

Daripada ketiga-tiga kerusi tersebut, Parlimen Arau selalunya panas dengan menyaksikan persaingan sengit khususnya antara Pas dan BN.

Malah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut juga menyaksikan berlaku persaingan sengit khusus­nya di Simpang Empat dan Guar Sanji dengan BN menang majoriti di bawah 1,000 undi selain kalah kepada Pas di Sanglang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Justeru, pemilihan calon BN bagi Parlimen Arau dalam PRU-14 pastinya memerlukan ketelitian iaitu individu tersebut perlulah seorang pemimpin yang betul-betul berwibawa dan mempu­nyai aura selain disukai rakyat.

Di Arau, sudah pas­tinya nama Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi pilihan utama dan individu paling layak dikekalkan bertanding di kawasan itu.

Shahidan yang pernah memegang jawatan Menteri Besar sejak 1995 hingga Mac 2008, cukup sinonim dengan penduduk di situ selain banyak membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat.

Malah pendekatan yang digunakan Shahidan sejak dahulu sehingga kini iaitu berjalan kaki ke setiap pelosok kampung selain sentiasa membantu rakyat menyebabkan beliau cukup dekat di hati mereka.

Oleh sebab itu, di mana sahaja Shahidan bertanding sejak 1986, beliau tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din yang dijangkakan mampu menewaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, Pas pula tidak boleh dipandang ringan kerana mereka dikatakan bakal mempertaruhkan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin sebagai calon di kawasan tersebut.

Perlu diingatkan, Hashim pernah memecahkan dominasi BN di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 1998.

Pada PRK itu, Hashim menewaskan calon BN, Datuk Ismail Kassim (Ahli Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang) dengan majoriti seba­nyak 1,323 undi.

Malah, Hashim juga terus cemerlang selepas itu, apabila mengekalkan kerusi DUN Sanglang yang dimenanginya selama tiga penggal dari 1999 hingga 2008.

Selain itu, PPBM yang kini dibubarkan sementara turut mengetengahkan bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Abd. Rahman Daud yang juga anak tempatan bagi memberi cabaran kepada Shahidan dan Hashim.

Jadi kali ini, BN tidak boleh silap percaturan di kerusi itu khususnya melibatkan pemilihan calon.

Jika tersilap langkah, tidak mustahil kejutan pada 1998 akan berulang kembali.