Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, Taman Bencah Setiu atau lebih dikenali Setiu Wetland akan dipulihara untuk mengekalkan alam semula­ jadi kawasan berkenaan.

“Ia akan melibatkan empat kluster iaitu bidang perlindu­ngan, pemuliharaan, komuniti dan pengekalan.

“Pada peringkat awal, perkara utama yang perlu ditekankan adalah bagaimana menjadikan kawasan seluas 400 hektar ini sebagai tarikan eko pelancongan terbaharu di negeri Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Setiu Wetland, di sini semalam.

Ahmad Razif memberitahu, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000.

Katanya, ia bertujuan untuk melakukan pembinaan benteng di kawasan pantai bagi menghalang kemasukan air laut ke kawasan hutan paya bakau.

“Selain kerajaan negeri, pihak yang terlibat sepenuhnya dalam merencanakan pembangunan dikawasan Setiu Wetland ialah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Jabatan Perhutanan dan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

“Kita juga mendapat khidmat nasihat dari segi pembangunan kawasan dan penyelidikan tentang pemuliharaan alam semulajadi yang dikendalikan oleh pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” ujarnya.

Beliau menambah, pihaknya juga sedang menunggu keputusan daripada kerajaan pusat berkenaan permohonan berjumlah kira-kira RM9.1 juta bagi membangunkan keseluruhan kawasan seluas 1,743 hektar yang dicadangkan sebagai Taman Negeri itu.

Katanya, Setiu Wetland mampu mewujudkan daya tarikan pelancongan di negeri ini sekali gus membantu merancakkan pembangunan ekonomi setempat.