Mengikut rekod, sehingga Ogos 2018  pelbagai peralatan judi bernilai RM17.83 berjaya dirampas, 201 buah premis judi haram ditumpaskan dan  2,215 orang penagih dadah ditahan. Manakala  1,371 orang didakwa di bawah jenayah syariah Akta 559, 28 syarikat disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri dan 24 tonto ditahan kerana mengganggu tugas penjawat awam.

Bagaimanapun rekod tersebut belum benar-benar  memuaskan dan dapat membanteras  kegiatan itu secara total.

Wartawan Utusan Malaysia, NIK HAFIZUL BAHARUDDIN menemu bual Ketua Setiausaha Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan bagi berkongsi mengenai halangan dan cabaran serta harapan beliau untuk membersihkan penularan gejala  tidak sihat di bandar raya ini .


UTUSAN MALAYSIA: Sejauh mana pencapaian diraih menerusi Op BAH setakat ini?

ADNAN MD. IKHSAN: Operasi Banteras Aktiviti Ha­ram atau Op BAH berjaya menggabungkan 27 agensi kerajaan dan 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam operasi bersepadu ini de­ngan menyasarkan kepada enam skop iaitu pusat judi siber haram, pendatang tanpa izin, penyalahgunaan dadah, kesalahan syariah, pusat urut dan pusat hiburan.

Op BAH turut mendapat perhatian Yang Dipertuan Agong ketika menyentuh isu sosial.

Selain itu Op Bah juga telah diiktiraf oleh ‘International Development and Public Policy Al­liance’ dan dijemput untuk membentangkan kertas kerja di Rio De Janeiro, Brazil pada 25 dan 26 Oktober tahun lalu.

Apakah pelan terbaharu da­lam usaha memperkasakan lagi Op BAH?

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad menyambut baik usaha Op BAH ini dan diteruskan dengan Op BAH 2.0 dengan menyusun strategi serampang dua mata iaitu membersihkan Malaysia secara amnya dan khususnya di Kuala Lumpur daripada rasuah dan kleptokrasi serta memacu pertumbuhan eko­nomi mapan seiring dengan kemajuan minda dan sahsiah dalam ka­langan masyarakat dengan mem­bendung masalah gejala sosial secara berterusan.

Fokus utama yang akan diberi tumpuan?

Op BAH 2.0 akan memberi tumpuan operasi persempada­nan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di sempadan Kuala Lumpur seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang.

Op BAH berdepan dengan sindiket yang menguasai persempadanan KL-Selangor sebagai tumpuan aktiviti-aktiviti haram ini seperti pusat judi haram dan pendatang tanpa izin yang menggunakan Pasar Borong Selayang sebagai pusat berniaga.

Difahamkan Op BAH juga ber-kerjasama dengan Jabatan Pendidikan. Boleh jelaskan mengenainya.

Kami percaya pendedahan ten­tang bahaya judi haram dan pe­nyalahgunaan dadah perlu diberikan sejak di peringkat sekolah lagi.

Pada peringkat ini pelajar mudah terpengaruh dengan kegiatan tidak sihat dan melalui kerjasama ini penularan gejala sosial dapat dibanteras di peringkat lebih awal.

Komen mengenai pemilik pre­mis yang didapati melakukan kesalahan berulang.

Kebanyakan kesalahan berulang ini dilakukan oleh sindiket judi dalam talian yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga. Pihak kementerian dan agensi tidak pernah patah sema­ngat sebaliknya terus melakukan operasi dari masa ke semasa.

Sejauh mana kerjasama NGO di­lihat penting dalam setiap Op BAH?

Berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) Op BAH, NGO ini adalah sebagai pemerhati dan wadah untuk menyalurkan kesedaran dan maklumat kepada masyarakat mengenai operasi yang telah dijalankan selain sebagai mata dan telinga kepada kerajaan.

Kekangan dan cabaran dihadapi anggota penguat kuasa?

Op BAH berdepan dengan sin­diket yang mempunyai kuasa kewangan yang besar sebagai contoh sekiranya premis judi ha­ram dikenakan tindakan ketika Op BAH dijalankan, mereka masih beroperasi seperti biasa pada hari seterusnya.