Spekulasi yang bertiup kencang sejak tahun lalu itu seolah-olah terjawab apabila beliau sendiri banyak melakukan kerja termasuk melaksanakan projek di kawasan itu termasuk ketika kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sepanggar tempoh hari.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, RODELIO JUNJUN TAUCAN baru-baru ini, Abdul Rahman menjelaskan, pembangunan yang dibawa ke negeri ini bukan gula-gula politik pilihan raya sebaliknya tanggunjawab yang perlu dilaksanakan sebagai anak jati Sabah dan menteri yang menjaga Unit Perancang Ekonomi.

Beliau berkata, rakyat Sabah amat beruntung kerana Kabinet Pusat kini dianggotai oleh banyak menteri dari Sabah, justeru limpahan pembangunan yang dikecapi di negeri ini adalah hasil daripada perjuangan pemimpin-pemimpin berkenaan.

“Saya bekerja untuk rakyat Malaysia dan Sabah di mana-mana sahaja. Dalam soal politik saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan tetapi amanah saya sebagai menteri ialah membawa kemajuan kepada kepada rakyat terutama orang Sabah,” katanya.


UTUSAN: Sejak akhir-akhir ini banyak pembangunan yang Datuk Seri bawa dan bakal bawa ke Parlimen Sepanggar. Apakah aspirasi Datuk Seri untuk perkara ini?

ABDUL RAHMAN: Saya dari dulu lagi percaya bahawa segala kemajuan yang ada di Sepanggar ini adalah landasan atau asas yang baik dan jika dimajukan serta dirancang sebaiknya akan menjadi pemang­kin ekonomi utama dan enjin pertumbuhan kepada negara Malaysia amnya dan Sabah khususnya.

Sebagai Menteri yang menerajui Unit Perancang Ekonomi, saya berpendapat Sepanggar mempunyai ramuan yang lengkap untuk menjadi salah sebuah bandar besar yang maju seperti bandar-bandar besar lain di dalam Malaysia.

Selain pembangunan fizikal, saya juga melihat aspek kesejahteraan rakyat adalah ciri-ciri asas kepada pembangunan sesebuah bandar seperti Sepanggar. Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) nanti contohnya akan menjadi nadi utama pembangunan bandar ini, begitu juga jalan Sepanggar yang akan dinaiktaraf dengan peruntukan besar seba­nyak RM420 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Sebab itu melihat kepada potensi daerah ini, saya telah mengumumkan sebelum ini Majlis Perundingan Sepanggar. Saya mahu lihat Sepanggar membangun secara berstruktur dan melibatkan semua pihak. Majlis ini akan merangkumi semua pemegang taruh seperti pengusaha industri, peniaga, ahli akademik, pemimpin masyarakat pelbagai etnik, NGO tempatan, agensi kerajaan dan juga golongan profesional untuk bersama-sama mencorak pembangunan Sepanggar.

 

Antara isu utama di kawasan Sepanggar ada yang berkaitan dengan proses urbanisasi seperti setinggan dan isu perumahan. Apakah rancangan Datuk Seri untuk menangani perkara ini?

Seperti juga di bandar-bandar besar yang lain, masalah berkaitan dengan setinggan adalah sesuatu yang kerap berlaku apabila kawasan tersebut yang dahulunya mungkin cuma sebuah kampung tapi telah melalui proses urbanisasi.

Cuma yang mungkin berbeza di kawasan Sepanggar ialah kawasan ini mempunyai kawasan tanah yang masih luas, berbeza dengan kawasan-kawasan lain mempunyai ruang tanah yang kecil dan sempit.

Saya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan sekiranya terdapat tanah-tanah kerajaan yang masih kosong, ia mungkin boleh dijadikan penempatan baharu untuk penduduk tempatan setinggan yang berada di Sepanggar dan jika terdapat cadangan lain kita akan bersama perhalusi.

 

Meskipun BN telah memajukan Sepanggar, tetapi pembangkang tetap menafikannya, apakah komen Datuk Seri?

Seperti kelazimannya, pembangkang akan terus membangkang. Mereka akan cuba cari setiap kesalahan walaupun ada masanya sanggup memperjudikan maruah bangsa dan negara.

Pembangkang, khususnya di Sabah ini akan terus mengejar sokongan rakyat dengan modus operandi mereka iaitu menjual fitnah dan melempar tohmahan negatif kepada kerajaan. Mereka tiada polisi atau dasar yang khusus untuk kelebihan rakyat dan terpaksa bergantung modus operandi tersebut dengan menfitnah pihak lawan.

Tetapi saya percaya, rakyat semakin matang dan semakin bijak menilai. Insya Allah, berkat apa yang telah diusahakan sepanjang lima tahun ini, akan mendapat mandat daripada rakyat untuk meneruskan segala perancangan bagi kelebihan seluruh rakyat Malaysia, Sabah khususnya.

 

Meskipun Parlimen belum dibubarkan, nama Datuk Seri antara yang disebut-sebut bakal menjadi calon BN Sepanggar. Adakah Datuk Seri bersedia?

Saya menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk membuat keputusan mengenai pemilihan calon, kerana saya percaya mereka mahukan yang terbaik untuk kemenangan BN.

Kota Belud, Sepanggar atau di mana sahaja ruang yang diberikan kepada saya, saya berjanji untuk memberikan yang terbaik untuk Barisan Nasional.

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri berkunjung ke Sepanggar. Bagaimana Datuk Seri melihat kehadiran beliau di situ dalam membuktikan komitmen kerajaan terhadap rakyat?

Alhamdulilah, seharian Perdana Menteri berada di Sepanggar tempoh hari dan sejak awal pagi semasa beliau berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telipok, rakyat Sepanggar khususnya memang sentiasa mengalu-alukan kehadirannya dengan hati terbuka.

Perdana Menteri banyak meluangkan masa dan tenaga di Sabah berbanding Perdana Menteri sebelumnya dalam memastikan Sabah terus membangun seiring dengan negeri maju lain di Malaysia.

Beliau adalah seorang Perdana Menteri yang diyakini rakyat negeri Sabah dan saya percaya dengan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, Sabah akan lebih maju dan pesat membangun di masa hadapan.