Hanya terdetik dalam hati mengucap Allahuakbar betapa apa yang terjadi itu ketentuan Allah SWT dan hanya Dia yang mengetahui segala-galanya.

Terus dititipkan dalam kumpulan WhatsApp petugas Utusan Malaysia Johor Bahru supaya menghubungi dan berpesan kepada saudara mara dan kenalan di Pulau Pinang agar lebih berhati-hati dan peka dengan perkembangan semasa bencana berke­naan.

Teropong Kawan hanya mampu berdoa supaya rakyat Pulau Pinang sentiasa tabah dan berjaga-jaga serta mengutamakan kese­lamatan diri dan keluarga.

Kadar hujan yang lebih banyak daripada biasa semasa musim tengkujuh kali ini memang menjadi punca banjir besar atau bah, istilah orang tua dahulu.

Tapi apakah itu sahaja puncanya? Pastinya ada yang lain dan antaranya kemampuan sistem perparitan untuk menampung jumlah air hujan yang banyak.

Nyata itu kelemahan yang se­ring menjadi punca berlaku banjir, khususnya di bandar-bandar pesat apatah lagi yang pesat membangun.

Jadi, semua negeri khususnya jabatan dan agensi yang berkaitan supaya segera memantau dan menyelenggara sistem perparitan di kawasan pentadbiran masing-masing sebelum hujan lebat melanda sehingga boleh menyebabkan bah.

Sudah menjadi resam banyak pihak, apabila berlaku sesuatu tragedi sering menyalahkan pihak lain sedangkan puncanya disebabkan kelemahan dan kelalaian yang tidak sepatutnya terjadi.

Selain sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik, pembangunan pesat khususnya di kawasan sensitif seperti di kawasan lereng bukit menambah risiko tanah runtuh dan banjir lumpur.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, nyata kerajaan negeri pimpinan DAP berdepan ujian getir apatah lagi baru-baru ini beberapa buruh binaan mati tertimbus dek runtuhan tanah semasa mereka sedang bekerja.

Kini, bah besar pula ‘menyapa’ sehinggakan kerajaan negeri terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan Pusat termasuk daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melancarkan tugas menyelamat orang ramai yang terperangkap.

Bukan itu sahaja, pelbagai pihak termasuk parti politik turut menggerakkan ahlinya untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir di sana selain menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas. Nyata gerakan menyelamat dan misi bantuan ini melangkaui ideo­logi politik kerana yang utama adalah keselamatan dan keselesaan mangsa-mangsa banjir.

Jadi, usah jadikan isu ini ‘mainan’ politik serta medium untuk meraih sokongan. Ikhlaslah membantu kerana keprihatinan anda pasti amat dihargai mangsa bencana berkenaan.

Walau bagaimanapun, cerita banjir bukan hanya melanda Pulau Pinang kerana beberapa negeri seperti Perak dan Kedah sudah turut dilanda bencana alam itu.

Justeru, Teropong Kawan ingin mengingatkan diri dan keluarga serta semua rakyat supaya sentiasa bersiap sedia kerana musim tengkujuh yang sering membawa hujan lebat sudah mula 'me­nyapa’. Jadi, sentiasa utamakan keselamatan diri supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Teropong Kawan: Bah bukan pesta, waspada selalu.