Berpengalaman selama 30 tahun, Megat Shahrudin Megat Khairudin 55, dari Kampung Bagan Baru Ijok, Selama berani untuk menceburkan diri dalam industri yang jarang diceburi oleh golongan masa kini.

Industri berkenaan jika diusahakan dengan gigih, mampu untuk menjana pendapatan tinggi bergantung kepada kualiti dan promosi.

Sesetengah individu mengasah bakat setelah menjalani kursus di institut kemahiran tertentu, namun tidak kurang juga dengan individu yang sememangnya berkebolehan sejak azali lagi.

Bagaimanapun, Megat Shahrudin yang tidak memiliki sebarang kemahiran dalam pertukangan kayu, sama sekali tidak pernah berputus asa.

Sebaliknya, dia menambah baik kemahiran dengan mempelajarinya daripada pengalaman sendiri bagi menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

“Pada awalnya, memang tiada kemahiran. Hanya berbekalkan minat yang tinggi, saya cuba untuk menghasilkan sesuatu dengan kayu yang ada di rumah. Hasil tangan pertama saya ialah meja kayu.

“Saya suka melihat urat kayu yang menarik ketika membe­lahnya. Bermula dari itu, minat untuk menghasilkan produk ukiran berasaskan kayu timbul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Megat Shahrudin yang kini mengusahakannya di bengkel sendiri dalam serba kekurangan, mengakui kekangan utama untuk meneruskan minatnya itu ialah soal kewangan.

“Saya bermula dengan rumah untuk dijadikan bengkel, namun harus mengambil kira kepen­tingan jiran kerana proses kerja produk kayu ini mengeluarkan habuk dan bunyi bising,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, da­lam kesusahan dan kepayahan itu, dia mudah mendapatkan sumber kayu balak lama serta tunggul kayu yang diperoleh dari satu kawasan pembalakan berhampiran Felda Bukit Ijok.

Harga yang ditawarkan bagi setiap perabot yang dihasilkan pula ditetapkan berdasarkan jenis produk atau kayu, bermula dari RM500 hingga RM3,000.

“Sudah menjadi adat berniaga, pendapatan yang diperoleh memang tidak menentu kerana bergantung kepada tempahan. Namun, sokongan keluarga serta rakan-rakan, menjadikan saya kuat untuk terus berusaha sehingga berjaya.

“Perancangan saya selepas ini adalah untuk membeli mesin, alat kraf kayu dan kemudahan lain yang dapat memudahkan kerja serta menghasilkan lebih banyak rekaan perabot pada masa akan datang supaya dapat terus memberi kualiti terbaik kepada pelanggan,” katanya.