ZABRI ABDUL WAHID

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, ASLIZA MUSA dengan beliau mengenai usaha kerajaan Barisan Nasional membangunkan Trong.

Utusan: Komen Datuk tentang projek pembangunan yang dilaksanakan di DUN Trong selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sehingga kini?

Zabri: Banyak yang telah dilakukan dan banyak bantuan juga telah diberi di mana usaha ini tidak melibatkan kaum tertentu sahaja. Semua rakyat di Trong telah dibantu.

Apakah projek besar yang bakal dilaksanakan di kawasan DUN Trong?

Balai Bomba dan Penyelamat Trong dengan peruntukan sebanyak RM3 juta akan dibina tidak lama lagi. Bagi projek ini, saya sendiri berjumpa dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bagi membuat permohonan. Terima kasih kepada beliau kerana meluluskan permohonan ini.

Sejauh mana Datuk melihat pembangunan di kawasan ini?

Pembangunan pekan kecil ini bermula semasa saya baru menjadi wakil rakyat di sini. Pembangunan di sini amat bermakna bagi saya. Ia sangat bagus kerana berjaya mewujudkan pusat perniagaan yang dapat menghidupkan kawasan sekitar meskipun terletak di kawasan yang agak terpencil.

Bagaimana pula dengan tanggapan pihak tertentu yang selama ini mendakwa tiada pembangunan di Trong?

Sesiapa yang mengatakan masih tidak merasai pembangunan di sini, sila datang ke Trong dan lihat sendiri apa yang telah dilakukan. Daripada aspek fizikal, mereka boleh nampak semuanya ada. Kemudahan yang ada di sini sama dengan pekan lain.

Sekiranya diberi kepercayaan meneruskan bakti di DUN Trong, apakah yang Datuk ingin lakukan lagi?

Saya mahu meningkatkan lagi bilangan usahawan terutamanya pengusaha makanan dengan produk-produk tertentu yang bergantung kepada bahan mentah tempatan sedia ada.

Saya juga mahu memperkenalkan lokasi-lokasi pelancongan tempatan seperti kawasan bakau, perusahaan arang, tempat perkelahan dan memancing selain mewujudkan pusat pengajian tinggi di kawasan ini.