BENTONG 16 Feb. – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bentong di sini sekali lagi dinobatkan sebagai sekolah terbaik di negeri ini dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 apabila kesemua 38 calonnya mendapat keputusan 8A.
Dalam keputusan UPKK 2015, seramai 39 daripada 42 murid program model khas Sekolah Indera Shahbandar Pahang (SISP) di SMK Seri Bentong itu mendapat semua A dalam lapan mata pelajaran.
Program ini melibatkan murid-murid tahun 5 yang terpilih dari beberapa sekolah rendah menyertai SISP di SMK Seri Bentong.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohd. Ghazali Abdul Aziz berkata, SMK Seri Bentong dan daerah ini merekodkan pencapaian terbaik di negeri ini dalam keputusan UPKK 2016.
“Pencapaian SMK Seri Bentong amat baik apabila kesemua 38 calon yang mengambil UPKK berjaya mendapat A dalam kesemua lapan mata pelajaran,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPKK 2016 peringkat negeri di Dewan SMK Seri Bentong di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengetua SMK Seri Bentong, Amri Aminullah.
Dalam pada itu, Mohd. Ghazali berkata, keputusan UPKK 2016 bagi negeri ini menunjukkan peningkatan apabila seramai 3,519 murid mendapat semua A berbanding 2,845 murid pada 2015.
Katanya, daerah Kuantan merekodkan jumlah tertinggi mendapat kesemua A iaitu 1,245 murid daripada 3,516 calon.
“Sebanyak tujuh mata pelajaran menunjukkan peningkatan kecuali Sirah yang kekal seperti tahun sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan SISP SMK Seri Bentong, Zul Hasyimi Mohamed Yunus berkata, pengurusan sekolah itu mengambil pendekatan tertentu dengan kerjasama pelbagai pihak dalam sesi pengajaran dan pembelajaran UPKK.
Antara kaedah yang digunakan, katanya, adalah menerusi pembentukan kumpulan yang lebih kecil bagi membolehkan murid dapat memberikan fokus dan lebih memahami proses pengajaran serta pembelajaran.