Guru Besar Sekolah Kebangsaan Nakhoda Muhammad Taib, Siti Hamisha Syed Chear berkata, hal itu kerana seminar selama dua hari itu dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman yang turut mendedahkan teknik menjawab soalan peperiksaan dengan lebih cekap dan betul.

Melalui seminar itu katanya, murid-murid bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan, malah meningkatkan tahap ke­yakinan mereka untuk menja­wab soalan dengan pantas.

“Ini merupakan penyertaan kali kedua murid-murid di sekolah saya dalam seminar ini. Seminar Hebat UPSR ini dilihat berbeza berbanding kaedah pembelajaran di sekolah ter­uta­ma dari segi teknik menjawab soalan dan cara pengajaran guru.

“Menerusi bimbingan daripada tenaga pengajar berkaliber, saya yakin ia mampu meningkatkan kefahaman murid-murid, sekali gus mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi pepe­riksaan UPSR,” katanya ketika ditemui dalam program yang berlangsung di Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut, di sini hari ini.

Bagi guru Bahasa Melayu dari Sekolah Rendah Islam At-Ta’alim, Syuhada Mohd. Anuar, kaedah pengajaran yang diaplikasikan oleh tenaga pengajar di seminar itu berbeza berbanding di sekolah sehinggakan murid-murid berasa tertarik dan seronok.

Katanya, seminar itu juga menyaksikan penglibatan aktif murid-murid apabila mereka lebih berani untuk menjawab soalan daripada tenaga pengajar secara spontan.

“Cara dan kaedah yang ditunjukkan oleh tenaga pengajar sangat menarik sehinggakan murid-murid menjadi seronok dan memberi kerjasama penuh terhadap setiap soalan yang di­utarakan,” katanya.

Sementara itu seorang peserta, Eiman Danial Hazreeq Mohamad Fariz, 12, berkata, dia gembira kerana berpe­luang menyertai Seminar Hebat UPSR itu yang memberi ba­nyak manfaat kepadanya dan rakan-rakan.

“Saya bangga kerana men­jadi salah seorang peserta program ini. Kebiasaannya kami hanya tumpu kepada apa yang diajar oleh guru di sekolah, namun kali ini berlainan apabila tenaga pengajar lain mengajar teknik-teknik untuk menjawab soalan,” katanya.

Hayatul Aqrosy Noor Azam, 12, pula berkata, gaya penyampaian yang mudah menyebabkan mereka lebih memahami apa yang disampaikan oleh tenaga pengajar sepanjang seminar berlangsung.

“Seronok dan tidak bosan langsung sehinggakan tidak te­rasa lama walaupun mengambil masa tiga jam untuk satu mata pelajaran,” katanya.