Setiausaha Kerajaan Ne­geri, Datuk Seri Naim Abu Bakar menyifatkan penularan ini adalah satu fitnah kerana kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang bayaran selain daripada bonus Aidilfitri yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan yang diguna pakai untuk penjawat awam seba­nyak RM500 sebelum ini.

“Ini merupakan satu bentuk tohmahan dan fitnah... berita tersebut adalah tidak benar dan fitnah semata-mata,” katanya

Dalam satu majlis penyampaian bantuan sempena Ramadan di Masjid Tanah baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pernah ditanya mengenai pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan dan beliau berkata tunggu pengumuman rasmi daripada pihaknya.

Motif penyebaran tular itu tidak lain untuk ‘menyakat' kerajaan negeri dan cuba menarik perhatian pihak luar kononnya kerajaan negeri tidak pernah membantu rakyat negeri itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu kerajaan negeri Melaka merupakan antara yang pa-ling komited dalam membantu rakyatnya khususnya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.

Menurut Idris, beliau mengarahkan semua agensi perkhid­matan kerajaan negeri yang terlibat dalam proses penyampaian bantuan agar memastikan 15 hari pertama bulan puasa mana-mana rakyat Melaka selesai menerima bantuan bagi menyambut Syawal.

“Kita mahu pastikan pada dua minggu pertama Ramadan, urusan pemberian bantuan se­lesai kerana faham minggu-minggu terakhir Ramadan ramai yang sudah tiada di rumah, pulang ke kampung anak-anak atau sibuk menguruskan persiapan raya,” katanya ketika ditanya kenapa bantuan diselesaikan begitu awal bulan puasa.

Langkah mempercepatkan penyampaian bantuan itu wajar dipuji kerana pemimpin, jawatankuasa penyelaras bantuan atau penduduk juga mempunyai urusan yang mungkin terhad di bulan puasa jadi apabila selesai urusan itu mereka boleh memberi tum­puan kepada perkara lain.

Idris juga memaklumkan sepanjang tempoh 15 hari itu kerajaan negeri memperuntukkan bantuan mencecah RM8 juta untuk diberikan kepada lebih 20,000 penerima yang berkelayakan dalam majlis-majlis yang diatur mengikut Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jadi jika dakwaan bahawa bantuan Bram perlu diterima oleh rakyat Melaka, rasanya bantuan sepanjang 15 hari pertama Ramadan diberikan kerajaan negeri sudah memadai dan tidak perlu lagi ditularkan fitnah di bulan yang suci dan penuh keberkatan ini sehingga menjejaskan imej kerajaan negeri.