Pada masa yang sama, usaha hendaklah dibuat bagi melahirkan warga kampus yang sihat dan cergas serta lebih ramai atlet negara yang berstatus graduan.

Dengan demikian, ia secara langsung akan menyumbang kepada pembangunan dan kegemilangan arena sukan negara.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat melancarkan ‘Tabung Mobiliti Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM)’

yang diadakan di Dewan Utama, Hotel UiTM Selangor Kampus Puncak Alam pada Ahad petang.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr Haji Mohamad Kamal Harun.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran.

Baginda turut berpesan agar seluruh warga universiti dan masyarakat sentiasa aktif dan menjadikan sukan sebagai amalan gaya hidup sihat.

Melalui aktiviti riadah, baginda yakin nilai-nilai murni seperti kerjasama, saling menghormati dan berhemah tinggi dapat diterapkan dalam diri masing-masing.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan bahawa sukan kini sudah dilihat sebagai salah satu industri yang penting dalam pembangunan negara.

Kini, peluang melibatkan diri dalam bidang sukan juga semakin terbuka luas di peringkat universiti.

Melihat dari perspektif UiTM, baginda berbangga kerana atlet UiTM sendiri telah banyak menempa nama, bukan

sahaja kejayaan dalam akademik, bahkan kegemilangan menerusi pelbagai kejohanan sukan hingga ke peringkat dunia.