Tinjauan Utusan Malaysia di kedua-dua plaza tol berkenaan pada jam-jam terakhir mendapati ramai pengguna menyambut baik pemansuhan tersebut yang sedikit sebanyak meringankan beban seluruh rakyat Selangor terutama warga Shah Alam dan Klang.

Antaranya Hamirul Asmar, 30, yang berasa lega kerana dia perlu berulang-alik dari kediamannya di Bandar Klang ke Petaling Jaya setiap hari bekerja.

Katanya, hampir sedekad dia melalui dua plaza tol berkenaan dengan belanja tol lebih RM200 sebulan dan dirasakan tidak berbaloi jika berdepan kesesakan setiap kali waktu puncak.

“Berita ini amat menggembirakan kerana tidak lagi perlu membayar RM1 di tol Sungai Rasau dan RM1.10 bagi tol Batu Tiga sekali gus melancarkan perjalanan.

“Kesesakan panjang juga dapat diatasi selain mengurangkan kemalangan kecil yang sering berlaku sebelum dan selepas kedua-dua plaza tol berkenaan,” katanya yang berkhidmat di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

Lebuh Raya Persekutuan yang merupakan antara lebuh raya terawal dibina iaitu pada 1974 menjadi kemudahan terpenting penduduk di Lembah Klang selain berfungsi menghubungkan pusat bandar Kuala Lumpur dengan kawasan padat Petaling Jaya, Su­bang, Shah Alam dan Klang.

Pengumuman pemansuhan kedua tol tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu membentangkan Bajet 2018 di Oktober lalu.

Turut bersyukur adalah Siti Zulaiha Norizam, 26, yang tidak lagi bimbang baki tidak mencukupi dalam kad Touch ‘n’ Go hingga terpaksa bersesak lebih 20 minit di lorong tambah nilai.

“Perjalanan dari Shah Alam untuk ke ibu negara akan lebih mudah dan selepas ini mungkin saya tidak perlu bersiap lebih awal untuk memulakan pemanduan ke tempat kerja,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Saiful Rosuri, 31, berterima kasih kepada kerajaan atas berita gembira sempena tahun baharu ini yang cukup beri impak positif bagi majoriti rakyat Selangor.

Katanya, laluan berkenaan yang ‘wajib’ dilalui setiap hari bagi kebanyakan penduduk sekitar Shah Alam dan kini mereka tidak perlu lagi runsing dengan kesesakan di plaza tol.

“Jalan alternatif melalui Glenmarie juga akan lebih lancar apabila rata-rata pengguna yang cuba mengelak tol Batu Tiga sudah boleh meneruskan perjalanan mereka dengan lancar sepanjang Lebuh Raya Persekutuan ini,” katanya lagi.