Timbalan Pengarah Jabatan Perbendaharaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Nik Nazli Abdullah berkata, waran tahanan terpaksa dikeluarkan ekoran kedegilan mereka melunaskan bayaran cukai itu melebihi tempoh dua tahun.

“Kita telah mengeluarkan notis dan memberikan tempoh selama tujuh hari untuk pemilik menjelaskan bayaran itu namun mereka tetap ingkar sehingga kita terpaksa mengeluarkan waran tahanan mahkamah.

“MBPJ juga akan melaksanakan operasi merampas harta kedia­man sementara harta yang disita itu akan dilelong sekiranya pemilik tidak menuntut dan membayar tunggakan dalam tempoh seminggu dari tarikh rampasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Cukai Taksiran bersama kira-kira 80 anggota penguat kuasa MBPJ di Pangsapuri Mentari Court, di sini baru-baru ini.

Katanya, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya menge­n­akan waran tahanan kepada 90 pemilik kediaman di Pangsapuri Mentari Court kerana gagal membayar cukai taksiran berjumlah RM151,513.

“Kebanyakan mereka mempunyai tunggakan melebihi RM1,000. Seramai 300 hingga 400 pemilik kediaman di sini dikenal pasti akan turut dikenakan waran tahanan kerana mempunyai tunggakan melebihi RM800.

“Saya nasihatkan kepada me­reka supaya menjelaskan segera tunggakan ini berdasarkan notis yang dikeluarkan sebelum tindakan sita harta dilaksanakan MBPJ,” katanya.