Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi kelmarin, Rohani Hamis berkata, dia sebelum itu mahu mencari tajak dan kemudiannya ternampak haiwan berkenaan berada di kawasan pokok keladi berhampiran bilik air di bahagian belakang rumahnya di Sawah Sempadan di sini.

“Sebelum itu saya ternampak satu benda seperti roda basikal buruk. Saya hairan juga sejak bila ada roda buruk di situ.

“Kemudiannya selepas saya amati, rupa-rupanya benda itu merupakan seekor ular tedung selar...alangkah terkejutnya saya. Saya kemudiannya terus ke dalam rumahnya untuk mencari belerang dan garam sebelum menaburkan di kawasan sekeliling bilik air bagi mengelakkan ular itu masuk.

“Bagaimanapun, ular itu kemudiannya saya dapati tiba-tiba telah berada di tepi kolah di dalam bilik air pula,” katanya memaklumkan penemuan haiwan itu kepada anaknya, Al-Mizan Azizan, 35.

Sementara itu, Al-Mizan ketika ditemui berkata, ular itu dari segi ukurannya adalah besar dan panjang manakala sisiknya pula sebesar saiz kuku orang dewasa.

Bagaimanapun, dia kemudiannya meminta bantuan Jabatan bomba dan Penyelamat untuk menangkap haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas mengesahkan kejadian itu selain menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.04 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Anggota bomba menggunakan beberapa peralatan khas seperti penjerut dan penyepit untuk menangkap ular dalam operasi ini. Memandangkan saiz ular tedung selar ini yang besar dan panjang, kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan ular itu bertindak agresif,” katanya.

Tambah Azmi, ular itu kemudian dibebaskan di habitat semula jadi di kawasan Hutan Simpan Raja Musa, kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE