Perumpamaan itu sesuai menggambarkan kisah hidup Sapian Jaffar, 64, yang menanggung derita selepas diserang penyakit ketumbuhan dalam kepala sejak tiga tahun lalu.

Menurut isterinya, Salmiah Bab, 64, selepas dikesan menghidap penyakit itu suaminya terpaksa berulang-alik ke hospital.

“Pembedahan terpaksa dilakukan sehingga menyebabkan tempurung kepala terpaksa dibuang.

“Belum cukup ujian itu, suami diduga apabila penglihatannya semakin kabur dan hari ini dia tidak dapat melihat sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Wawasan, baru-baru ini.

Terdahulu Sapian sekeluarga menerima kunjungan pengurusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Kajang yang diwakili Pengurusnya R. Thavamani dan Pegawai Eksekutifnya, Jusnita Nor Yaakob serta Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Markiman Kobiran.

Penderitaan Sapian berkurangan selepas mendapat bantuan sara hidup menerusi Skim Pencen Ilat yang ditawarkan oleh Perkeso.

Sementara itu, R. Thavamani memberitahu, Sapian akan me-nerima sebanyak RM1,682 sebulan menerusi kelayakan faedah yang ditawarkan Perkeso.

“Daripada skim itu, Sapian layak menerima kadar faedah pencen sebanyak RM39.40 sehari dan elaun layanan sentiasa sebanyak RM500 sebulan kerana tidak mampu bergerak sendiri.

“Selain itu, dia juga akan me-nerima bantuan kerusi roda untuk tujuan kemudahan pergerakan dan lampin pakai buang setiap bulan yang boleh dituntut di pejabat Perkeso Cawangan Kajang,” jelasnya.