Difahamkan, mangsa, Nursuhada Ishak, 26, parah selepas kenderaan yang dipandunya dilanggar pemandu lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira pukul 4.06 pagi dan tiba dilokasi enam minit kemudian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, terdapat dua buah kenderaan terlibat dengan kemalangan yang mana Honda CRV yang dipandu seorang lelaki melanggar kereta jenis Perodua Kelisa.

“Ketika di lokasi, dua mangsa terlibat telah dikeluarkan orang awam, sementara kita hanya mengeluarkan seorang lagi mangsa yang masih tersepit.

“Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam bagi menerima rawatan. Akibat daripada pelanggaran tersebut, kedua-dua kereta terlibat terbalik,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut tetapi sehingga kini tidak menerima laporan berkaitan mabuk.

“Setakat ini tiada laporan yang diterima, namun sekiranya benar dakwaan ini kita akan menahannya dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya. - UTUSAN ONLINE