Timbalan Pengerusi Persatuan Komuniti Seksyen 23, Md. Yusop Selamat berkata, masalah itu bermula dengan retakan halus pada awalnya namun bertambah teruk seolah terbelah sepanjang tujuh tahun penduduk menetap di situ.

Katanya, semakan semula sijil layak menduduki (CF) perlu dilakukan semula bagi mengukur piawaian keselamatan terkini pada struktur tanah sekitar kawasan perumahan itu yang merupakan bekas kolam loji kumbahan.

“Kerisauan dan ketakutan melihat retakan kecil bertukar jadi rekahan sehingga terbelah amat ngeri malah terdapat beberapa rumah penduduk yang condong dan berlaku runtuhan siling dan konkrit.

“Beberapa penghuni rumah juga sudah berpindah dan mengosongkan kediaman kerana berasa tidak selamat. Tindakan segera pihak terlibat termasuk pemaju adalah penting sebelum kejadian lebih buruk terjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Persatuan Komuniti Seksyen 23 juga katanya, telah mewujudkan satu jawatankuasa bertindak khas yang berperanan menyelesaikan isu rumah retak dan tanah mendap itu ekoran menyebabkan penduduk menanggung rugi puluhan ribu ringgit untuk kos baik pulih. - UTUSAN ONLINE

Video oleh AMIRUL AIMAN ANUAR