Menyedari hakikat itu, siswazah Pengurusan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini mengadakan program Hari Interaksi Antara Budaya yang bertujuan memperkenalkan keunikan makanan, tarian serta permainan tradisional tempatan.

Pengarah program, Engku Shariful Azni, 24 berkata, program berkonsepkan sambutan Hari Raya itu mendapat sambutan lebih 200 mahasiswa UKM termasuk pelajar antarabangsa.

“Pada kali ini, kami memberi sedikit kelainan dengan mewujudkan suasana Hari Raya agar mahasiswa luar negara dapat merasai sendiri pengalaman beraya di negara ini.

“Kami bersyukur kerana semua pihak memberi maklum balas yang positif dan berharap pelajar luar negara dapat menceritakan tentang uniknya budaya Malaysia kepada dunia luar sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah UKM Global Prof. Dr. Yazrina Yahya.

Engku Shariful berkata, pengunjung diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti congkak dan ‘ting-ting’ selain dapat merasai pelbagai jenis hidangan seperti rendang, lemang dan ketupat.

Sementara itu, pelajar dari Iraq, Ali Hussein Alwaeli, 24, memberitahu, dia berasa sangat teruja melihat tarian pelbagai kaum yang jauh berbeza dari apa yang pernah disaksikan sebelum ini.

“Saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di negara ini kerana jatuh cinta dengan keharmoniannya selain masyarakat berbilang bangsa seperti Melayu, Cina dan India yang unik,” katanya. - UTUSAN ONLINE