Bukan seni bina menjadi faktor, akan tetapi kedaifan terhadap struktur bangunan terutama di bahagian bumbung jelas me­nunjukkan perumahan strata itu seperti tidak berpenghuni dan menjadi tinggalan sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan bumbung rumah yang tercabut hampir keseluruhan di ke lapan-lapan blok rumah berkenaan menjadi tanda tanya bagaimana penghuni di tingkat lima berdepan dengan situasi berkenaan.

Dalam kunjungan Skuad Terjah baru-baru ini mendapati, keadaan itu menimbulkan keresahan penduduk ter­utama dalam aspek ke­selamatan.

Menurut Pengerusi Perbada­nan Pengurusan (MC) Flat Seri Nuri, Mohammad Fauzi Husain, keadaan tersebut berlaku sejak lima tahun lalu dan hingga hari ini masalah bumbung semakin kritikal.

“Pada awalnya hanya sedikit sahaja tetapi lama-kelamaan ia berlarutan malah ada dua daripada lapan blok ini lebih teruk berbanding blok lain.

“Kami di pihak MC pernah mengemukakan masalah ini kepada penduduk dan meminta bayaran penyelenggaraan dilunaskan untuk tujuan kerja-kerja baik pulih namun tidak diendahkan sehinggakan ia berlanjutan sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohammad Fauzi berkata, semua penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami berharap agar pihak berwajib dapat membantu untuk membaik pulih keadaan bumbung sebelum masalah ini semakin berlarutan,” ujarnya.

Utusan Malaysia difahamkan rumah Flat Seri Nuri berusia kira-kira 10 tahun mempunyai lapan blok meliputi 796 unit didiami kira-kira lebih 3,000 penduduk daripada pelbagai latar belakang.