Pertandingan yang menutup tirai tengah hari ini menyaksikan wakil tuan rumah juga selaku penganjur menjuarai acara recurve individu kategori Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Kemenangan disumbang oleh pelajar tingkatan empat, Abdul Rahman Fawwaz Rahman menewaskan Muhammad Nadzirul Hadi Norosid (Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar) di tempat kedua dan Amier Mustaqim Azman (Sekolah Dato’ Abdul Razak) di tempat ketiga.

Hadiah tempat keempat turut disumbang pemanah tuan rumah, Muhammad Haikal Daniel Harun. Dalam acara recurve berpasukan lelaki, pasukan tuan rumah menang tempat ketiga.

Juara keseluruhan SBP disandang oleh Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar yang mengungguli tempat teratas kategori SBP (lelaki dan wanita).

Dalam kategori perseorangan wanita SBP, pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Puteri Alissa Shahira Ahmad Badli Shah menang tempat pertama.

Kategori Jemputan (lelaki) dimenangi Hariez Izkandar Zainal Habsahli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Kesuma manakala Nurul Azreena Mohd Fazli dari Team Sasar memenangi kategori wanita.

Pengetua SMAP Kajang, Mohd Abd. Aziz Mahmud berkata, pertandingan recurve 70 meter kali ini disertai oleh 48 buah sekolah berasrama penuh dan 44 sekolah jemputan termasuk pasukan dari India dan Indonesia.

“Acara tahun ini ini mencatatkan penyertaan tertinggi sejak penganjuran dinaik taraf menjadi pertandingan antarabangsa sejak tahun lalu.

“Pertandingan ini diharap dapat memberi peluang kepada pemanah-pemanah yang berusia 13 hingga 18 tahun dari seluruh negara bersaing dalam satu platfom yang sihat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kejohanan empat hari yang bermula Isnin lalu dianjurkan oleh SMAP Kajang dengan kerjasama Malaya Archery. UTUSAN ONLINE