Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati Zon A, B dan C, Razman Hakimi Abdullah berkata, tapak berkeluasan 1.32 hektar yang sepatutnya dibina sebuah taman rekreasi itu telah diubah untuk membina depan bekenaan tanpa pengetahuan dan persetujuan penduduk setempat.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menjanjikan kawasan itu untuk dijadikan taman rekreasi dan ia turut direzabkan sebagai tanah kemudahan awam.

“Pada lima tahun lepas penduduk telah bersetuju untuk membina sebuah taman rek­reasi bagi tujuan riadah dan mengekalkan kawasan hijau menerusi pendengaran awam dan mesyuarat dengan pemaju bersama MPAJ namum apa yang dijanjikan itu tidak ditunaikan.

“Namun, pada 18 Mei lalu kami dimaklumkan untuk menghadiri mesyuarat bersama MPAJ untuk mendengar perubahan pelan oleh pemaju bagi menggantikan pembinaan taman rekreasi kepada sebuah dewan untuk tujuan tertentu,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rizman Hakimi mendakwa, MPAJ dan pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan kepada penduduk bahawa persetujuan telah dicapai sebelum ini dan pelan pembangunan itu tidak boleh diubah.

“Mana mungkin perkara ini berlaku sedangkan sesi pendengaran awam dan dialog tidak diadakan MPAJ sebelum memberi kelulusan pelan baharu itu dan ini sangat tidak adil.

“Kami mewakili semua penduduk di sini membantah dan tidak mahu projek pembinaan dewan dilakukan kerana itu dilihat tidak memenuhi keperluan semasa berbanding taman re­k­reasi yang masih tiada di kawasan ini,” tegasnya.

Tambahnya, sebanyak lebih 2,000 tandatangan petisyen bantahan cadangan pelan itu berjaya dikumpul pihaknya dan akan dihantar kepada pihak berwajib.

“Kami akan menghantar pe­tisyen dan dokumen-dokumen yang berkaitan kepada pihak pemaju, MPAJ dan Mohamed Azmin pada Isnin ini bagi mencadangkan perubahan pelan pembangunan itu kepada yang asal,” katanya lagi.