Ini kerana terdapat karenah birokrasi di peringkat pentadbiran kerajaan menyebabkan ramai golongan itu tidak menerima bantuan.

Seorang suri rumah, Azizah Adnan,56, berkata, dia enggan membuat permohonan bantuan untuk ibunya, Tijah Ibrahim, 81, yang uzur dan tidak mampu berjalan kerana masalah birokrasi berlaku di peringkat kerajaan.

“Malas saya nak mohon bantuan lagi. Saya diminta mengusung ibu saya untuk menunjukkan bukti bahawa dia uzur. Itu menyusahkan kami.

“Sudah tiga tahun saya berhenti kerja untuk menjaga ibu yang sakit dan tidak mampu berjalan. Saya hilang pendapatan bulanan RM900 untuk menampung keperluan keluarga,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Taman Indah PKNS, Batu 26, Beranang di sini hari ini.

Tijah merupakan satu daripada tiga asnaf yang ditemui calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Seorang lagi asnaf, Norafidah Zahari,59, berharap Pusat Zakat Selangor meneruskan bantuan zakat yang diterima mereka sekeluarga sebanyak RM650 sebulan.

Malah, dia memohon supaya kerajaan mempertimbangkan bantuan sewa rumah kepada mereka sekeluarga.

“Suami saya, Jamaluddin Abd. Majid, 75, kini uzur dan mengalami masalah penglihatan akibat katarak mata.

“Kos pembedahan katarak mata juga tinggi iaitu kira-kira RM1,100 untuk sebelah mata. Kami tidak mampu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE