Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, projek tersebut yang akan dibangunkan dengan kos anggaran sebanyak RM56 juta khusus untuk pekerja ladang yang dipindahkan ke Taman Permata di sini ketika projek pembinaan Putrajaya dahulu.

“Projek ini terlewat sedikit dari tarikh asal kerana kita mengubah kaedah pelaksanaan daripada pemberian kontrak terus kepada tender terbuka, malah Perdana Menteri turut bersetuju dengan kaedah ini.

“Sekarang kita baru mendapat kelulusan untuk melantik perun-ding dan dalam masa terdekat ini akan buat tender terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengha­diri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan majlis pe­­nyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil di sini.

Yang hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif.

Noh berkata, sebanyak 400 unit rumah akan dibangunkan untuk projek tersebut yang terletak di kawasan Ampar Tenang, Dengkil.

Mengulas lanjut, Noh berkata, untuk tahun ini sebanyak 10 PPR akan dibina di seluruh negara dan empat daripadanya akan dibina di Selangor.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan berhasrat menyediakan kuota khas rumah PPR untuk anggota atau pesara pasukan kese­lamatan, Noh berkata, pihaknya bersedia menimbang permohonan tersebut sekiranya mendapat kerjasama daripada persatuan terlibat.

“Syarat permohonan rumah PPR ini boleh dipohon oleh mana-mana rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 ke bawah sebulan.

“Namun, jika terdapat persatuan berkenaan yang sanggup be­kerjasama dengan menyediakan ta­nah atau tapak bagi memba­ngunkan projek ini kerajaan bersedia menimbang hasrat tersebut,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, Noh turut mengumum­kan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk tabung PIBG sekolah tersebut bagi membina sebuah dewan terbuka khusus untuk aktiviti kokurikulum pelajar.

Pada masa sama, katanya, beliau juga akan meminta bantuan daripada Kementerian Pendidikan bagi membantu sekolah tersebut membaik pulih dan menaik taraf dewan sedia ada yang telah berusia lebih 50 tahun.