Semak-samun dan lalang yang tumbuh separas lutut orang dewasa sehingga ‘menenggelamkan’ puluhan batu nisan menyebabkan waris si mati tidak berani mengunjungi tanah perkuburan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan persekitaran di tanah perkuburan itu sedikit menyeramkan dan sudah pasti mengundang kehadiran binatang berbisa.

Berdasarkan pemerhatian ter­­dapat beberapa pokok besar se­perti pokok tembusu semakin tua dan dikhuatiri akan tumbang pada bila-bila masa lebih-lebih lagi jika hujan lebat atau angin kencang.

Papan tanda projek di tanah perkuburan itu juga didapati jatuh ke tanah.

Sepanjang berada di situ juga penulis turut dikejutkan de­ngan kehadiran seekor anak ular yang tiba-tiba melintas di hadapan pintu pagar tanah perkuburan itu.

Bekas penggali kubur, Muhammad Rizal Zai­nal Abidin, 36, berkata, dia menjaga tanah perkuburan itu sejak berusia 15 tahun bersama keluarganya.

“Sebelum ini semua kerja-kerja pembersihan di kawasan tanah perkuburan diuruskan saya dan keluarga. Bagaimanapun sejak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil alih pengurusan daripada pihak masjid pada Oktober lalu keadaan di sini tidak terurus,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Abdul Mu­nir Mohd. Said, 34 pula berkata, dia difahamkan pihak MPAJ akan menaik taraf kawasan perkuburan tersebut.

“Sehingga kini tiada perkembangan berhubung usaha itu.

“Sebelum ini penduduk kampung hanya mengambil inisia­tif mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, MPAJ juga dapat mengutamakan kariah yang menetap lebih dua dekad di situ untuk dikebumikan di tanah perkuburan itu.

“Di sini masih boleh memuatkan lebih 1,000 jenazah lagi untuk dikebumikan,” katanya.