Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dengan kira-kira 99 peratus perniagaan berada di dalam kategori PKS.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, daripada jumlah tersebut, sekitar 20 peratus perniagaan dimiliki, dikendalikan atau dikelolakan oleh wanita.

“Oleh itu, hanya dengan meningkatkan penyertaan wanita dalam PKS kita boleh membawa pertumbuhan yang ketara dalam ekonomi kita,” katanya berucap melancarkan program Pembangunan Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS Malaysia Berhad di R&R Dengkil di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Wan Azizah yang menyambut inisiatif PLUS itu berkata, perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PLUS melalui 33 kawasan R&R menyediakan banyak peluang untuk rakyat berniaga dan memasarkan produk mereka terus kepada pelanggan lebuh raya.

Jelasnya, sehingga kini, terdapat 201 orang atau 46 peratus peniaga adalah wanita dan tujuh peratus daripadanya merupakan ibu tunggal.

“Terima Kasih kepada PLUS kerana mengambil inisiatif mengadakan Program Keusahawanan Wanita atau WEP. Saya berharap lebih banyak program seperti ini diperkenalkan untuk memberi peluang kepada wanita dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Jelasnya, WEP PLUS selaras dengan hasrat kementerian iaitu memberi fokus terhadap memperkasakan wanita di dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan ekonomi.

“Usaha PLUS ini membuktikan pihak swasta juga boleh memainkan peranan mereka memajukan masyarakat dan tidak hanya bergantung kepada program-program atau bantuan daripada pihak kerajaan sahaja. Inilah yang dinamakan sebagai “Giving back to society.”

“Inisiatif PLUS ini seharusnya dilihat sebagai contoh bagaimana pihak swasta dan syarikat-syarikat korporat lain boleh membantu pihak kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat,” katanya. - UTUSAN ONLINE