Pengurniaan sijil itu disempurnakan baginda dalam isti­adat rasmi di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Ishak Mohd. Jonid.

Sijil Pengakap Raja yang dianugerahkan bersama Lencana Pengakap Raja merupakan pengiktirafan tertinggi yang kurniakan kepada ahli badan beruniform itu yang lulus cemerlang dalam Ujian Penarafan Pengakap Raja.

Kelayakan bagi ahli untuk memperoleh Pengakap Raja, mereka dikehendaki menguasai ilmu pengakap selain menunjukkan potensi diri serta budi pekerti yang terpuji.

Selain itu, penerima Sijil Pengakap Raja perlu memahami, menyedari, mendalami dan mengamalkan kemahiran ilmu pengakap untuk kepentingan kecemerlangan diri, agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, Ishak berkata, pengurniaan Sijil Pengakap Raja dibuat setiap tahun yang mana ahli badan beruniform berusia 17 hingga 18 tahun perlu melepasi beberapa peringkat ujian sebelum melayakkan mereka me­nerima pengiktirafan itu.

“Mereka perlu jalani beberapa peringkat ujian dari peringkat asas sehinggalah kepada pe­ringkat lanjutan. Melalui ujian ini, mereka kemudiannya ditapis oleh Lembaga Penarafan Pe­ngakap Raja Negeri Selangor sama ada mereka layak ataupun sebaliknya,” katanya.