Pengarahnya, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, bilik gerakan itu akan dibuka di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga peperiksaan SPM dan STPM tamat sepenuhnya pada 4 Disember ini.

“Setakat hari ini tiada masalah kerana pusat-pusat peperiksaan yang dibuka untuk SPM dan STPM di negeri ini tidak berisiko dilanda banjir.

“Namun, semua PPD di seluruh Selangor mengaktifkan bilik gerakan bencana alam sebagai langkah berjaga-jaga," katanya kepada pemberita selepas meninjau calon-calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Salleh memberitahu, pada tahun ini, sebanyak 77,926 calon menduduki SPM di seluruh Selangor iaitu peningkatan seba­nyak 2,383 calon atau 3.15 peratus berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah itu pula, sebanyak 226 calon berkeperluan khas termasuk orang kurang upaya (OKU) yang menghadapi masalah penglihatan, OKU fizikal dan OKU pertuturan.

“Sehubungan itu, sebanyak 492 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negeri dengan 5,684 petugas dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar,” ujarnya.

Mohd. Salleh dalam pada itu berkata, sebanyak 18,420 calon STPM turut menduduki pe­periksaan di seluruh Sela­ngor melibatkan pembukaan 214 pusat peperiksaan dan lantikan 1,953 petugas.