Pengarahnya, Azmi Osman berkata, sistem pendawaian rumah perlu diselenggara setiap 10 tahun, namun yang berlaku sebaliknya disebabkan masyarakat kurang arif selain tidak mengambil berat kepentingan perkara ter­sebut.

“Kesedaran menyemak sistem pendawaian dalam kalangan masyarakat berada pada tahap amat rendah sehingga menyebabkan jika berlaku kebakaran, mereka tidak mampu menanganinya berikutan tidak peka dengan ilmu kebakaran.

“Selain itu, penggunaan jeriji tidak sesuai di kediaman ma­sing-masing juga menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada kematian di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas ha­dir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor di sini.

Terdahulu, beliau memakaikan pangkat kepada dua pegawai dan 22 anggota di negeri ini, atas khidmat bakti yang diberikan sepanjang berkhidmat bersama bomba.

Dalam pada itu, Azmi menjelaskan, pihaknya tidak menafikan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berdepan de­ngan masalah kekurangan anggota dan pegawai.

Jelasnya, keadaan itu bertambah genting kerana pada tahun lalu sahaja, Selangor menerima lebih 17,737 panggilan kecemasan melibatkan pelbagai kes sama ada kebakaran atau ke­selamatan.

“Walaupun dimaklumkan tiada penambahan penjawatan, kita mempunyai strategi tersendiri iaitu dengan menambah anggota pasukan bomba bantuan.

“Setakat ini, kita mempunyai lebih 300 anggota bomba bantuan dan bercadang untuk menambah lagi 100 anggota bagi menyalurkan khidmat kepada masyarakat,” katanya.