Pelakon filem Tombiruo itu berkata, yang lebih terkilan adalah perkara itu berlaku selepas dia bergelar seorang bapa dan suami.

“Saya mahu menjadi seorang ayah yang terbaik buat anak-anak saya, namun melihat gambar saya disebarkan menyebabkan saya rasa cukup terkilan memandangkan ini berlaku selepas saya berkahwin.

“Bagaimanapun, isteri saya memberi sokongan sepenuhnya dalam keadaan ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar sama, Farid turut mendedahkan wajah dua individu sebenar yang sepatutnya membantu polis berhubung dakwaannya terdapat pihak lain yang memasukkan dadah dalam minuman tanpa pengetahuannya.

Jelasnya, pendedahan itu sekali gus menjelaskan dua individu yang sudah dipanggil pihak polis bukanlah individu yang sepatutnya membantu siasatan.

“Saya agak kecewa apabila ternampak dalam akhbar, gambar Taj dan Osh bukan individu yang saya beri maklumat ketika siasatan.

“Proses siasatan, kawad cam yang sepatutnya berlaku juga tidak berlaku, walhal saya sudah memberikan gambar dua individu tersebut,” katanya.

Memberi gambaran mengenai dua individu yang didakwa menganiaya dirinya, jelas Farid, dia mengaku mengenali mereka, bagaimanapun tidak pernah berjumpa.

“Dua individu ini memperkenalkan diri sebagai penyanyi dan pengurus artis. Kedua-duanya turut memberitahu mereka merupakan kerabat di raja Johor dan Kedah.

“Pada hari kejadian, saya juga diberitahu mereka ingin bertemu kerana mahu membincangkan sesuatu yang serius sebelum saya tidak sedar,” jelasnya.

Terdahulu Farid membuat laporan polis mengenai kecederaan pada bahagian dahi yang dialami ketika berada dalam tahanan polis.

“Saya mula mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas disarungkan baju berwarna putih. Terdapat juga 11 individu yang tidak dikenali dalam bilik tersebut, sejurus selepas itu saya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan.

“Bagi saya, kecederaan ini memberi kesan kepada kerjaya saya dan menyebabkan saya berasa rendah diri,” katanya.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis, bulan lalu.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan reman pelakon, Soffi Jikan, 48, yang didapati positif dadah ketika hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Balai Polis Mutiasara Damansara, pada 6 Februari lalu.

habis