Parlimen Sabak Bernam meliputi dua kawasan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) iaitu Sabak dan Sungai Air Tawar.

Selaras dengan kepesatan pembangunan, landskap ekonomi di Sabak Bernam juga bakal menjadi lebih rancak apabila projek naik taraf Jalan Persekutuan Teluk Intan - Klang (FR-5) yang merupakan sebahagian daripada laluan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dijangka siap tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata, dengan siapnya jalan tersebut, ia akan merancakkan ekonomi dan pembangunan di kawasan Parlimen ini.

Katanya, rata-rata penduduk di Sabak Bernam amat te-r­uja dengan projek tersebut kerana mereka dahagakan pembangunan serta peningkatan ekonomi secara menyeluruh.

“Jadi dengan adanya projek naik taraf jalan FR5 ini, sudah tentu tempias pembangunan tersebut dapat dirasai penduduk di kawasan ini, sekali gus mampu meningkatkan taraf kehidupan penduduk setempat,” katanya.

Tambahnya, jaringan pengangkutan darat yang baik juga secara tidak langsung akan menjadikan nilai hartanah di kawasan terbabit meningkat.

“Ini membolehkan kilang-kilang dibina di sini yang tentu-nya akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menyentuh mengenai pembangunan pendidikan, Mohd. Fasiah yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam menjelaskan, Parlimen itu mempunyai sembilan sekolah menengah dan 23 buah sekolah rendah.

Tidak terkecuali jelasnya, Sabak Bernam turut memiliki sebuah sekolah berasrama penuh integrasi, politeknik, kolej tingkatan enam dan kolej komuniti.