Peguam bela mewakili peniaga premis berkenaan, Kamarudin Ahmad berkata, langkah ini untuk memastikan arahan itu selari dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib bahawa gerai itu tidak akan dirobohkan.

“ADUN ini telah mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan bersetuju bahawa menjadi dasar kerajaan negeri untuk tidak memindahkan kedai setinggan sehingga tapak pemindahan baharu disediakan.

“Beliau (Shaari Sungib) juga akan usahakan satu tempat pemindahan baharu dan memberikan pampasan yang munasabah kepada peniaga daripada pemaju projek,” katanya dalam sidang akhbar yang turut diha­diri Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan 1Malaysia (NGO1M), Mohamad Nazlee Aziz Yeop.

Kamarudin berkata, berdasarkan kenyataan Saari itu, ia dianggap sebagai satu pengakuan daripada kerajaan negeri Selangor.

“Oleh itu kita minta jasa baik agensi terlibat untuk beri satu pengakuan bahawa notis-notis untuk perobohan dibatalkan. Mesti ada jawapan.

“Peniaga-peniaga tidak mahu gerai mereka dirobohkan secara tiba-tiba. Jika ada satu jalan penyelesaian, kita tidak mahu bawa kes ini ke mahkamah.

“Setakat ini tiada surat hitam putih daripada pihak berkenaan sedangkan Saari mengatakan premis ini tidak akan dirobohkan,” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya telah menghantar surat kepada agensi tersebut untuk mendapatkan jawapan lanjut namun sehingga kini masih belum menerima sebarang reaksi.

Isu berkenaan timbul selepas Pejabat Daerah dan Tanah Gombak mengeluarkan notis arahan pengosongan gerai pada 20 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Berdasarkan notis tersebut, peniaga premis di kawasan rizab jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu diberikan peluang untuk berniaga selama 26 tahun di atas tanah milik kerajaan bermula 1991 hingga 2017.