Masalah yang berlaku sejak puluhan tahun lalu itu dibimbangi akan mengulangi kejadian 30 tahun lalu yang menyebabkan beberapa unit rumah di kawasan tersebut terpaksa dirobohkan kerana tidak lagi selamat untuk didiami.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan berkenaan hari ini mendapati, kebimbangan penduduk berasas apabila keadaan tebing sungai yang terletak kira-kira lima meter di belakang rumah mereka mengalami hakisan dan tanah mendap.

Masalah itu turut boleh dilihat dengan jelas pada lantai konkrit yang dibina di belakang rumah bagi tujuan mengukuhkan struktur tapak rumah mereka yang hanya menunggu masa untuk roboh ke dasar su­ngai.

Keadaan itu menunjukkan tapak kediaman penduduk semakin terjejas akibat pergerakan bawah tanah.

Kesan daripada mendapan tanah juga menyebabkan berlaku rekahan teruk pada struktur konkrit mencecah ukuran kira-kira setengah meter panjang.

Masalah itu jika tidak ditangani dengan segera dibimbangi akan mengundang permasalahan lebih serius sekali gus mengancam keselamatan nyawa penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong berkata, beliau akan memanjangkan isu itu kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk mencari penyelesaian, selepas lawatan tapak de­ngan pegawai dari Jabatan Ba­ngunan dan Senibina.

“MPAJ telah maklum me­ngenai perkara ini dan meminta se­narai pemilik rumah yang terjejas dan akan membuka fail siasatan.

“Saya harap pihak berkaitan sama ada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau MPAJ dapat mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini daripada menjadi lebih serius,” katanya semasa kunjungan ke lokasi itu baru-baru ini.