Jika tiada yang istimewa tentang rasanya pasti orang ramai tidak berpusu-pusu datang membeli.

Sebagai peminat cakoi, penulis yang menghampiri gerai berkenaan seperti dapat merasakan kelembutan tepung roti yang digoreng rangup itu.

Pengusaha Cakoi Banting, Mohd. Nor Fadzil Md. Yaafar berkata, cakoi yang dihasilkan itu menggunakan resipi warisan keluarga yang tetap lembut walaupun sudah lama dimasak dan sejuk.

“Antara keistimewaan yang sering diperkatakan pelanggan tentang cakoi ini adalah kerangupan kulit dan kelembutan isinya,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohd. Nor berkata, dia telah membantu perniagaan milik keluarganya itu sejak berusia 14 tahun.

“Saya memang berniaga cakoi setiap hari di pasar malam sekitar Banting, Klang dan Shah Alam. Hanya bulan puasa sahaja berniaga di bazar Ramadan dan inilah sumber pendapatan saya.

“Menghasilkan cakoi nampak mudah, tetapi sebenarnya tidak. Ia mempunyai skil dan teknik tersendiri serta perlu mempunyai minat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Nor Fadzil memberitahu, jualan cakoi dalam tempoh sebulan bulan Ramadan mampu mencecah sehingga RM7,000.


Info

CAKOI BANTING

Harga: 40 sen sebiji

Keistimewaan: rangup, lembut

Lokasi: Bazar Ramadan Bandar Sunway, Selangor