Namun Kelab Lekas Rider (LSR) terus aktif menerusi Kayuh­an Sahur sejauh 150 kilometer melalui Lebuhraya Kajang-Se­remban (Lekas) dari Semenyih ke Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Wakilnya, Khairul Anuar Muhamad Noh berkata, aktiviti bermula pukul 10.45 malam itu memberi peluang kepada semua peserta menunaikan solat sunat tarawih terlebih dahulu.

“Selepas selesai menunaikan solat, kayuhan ini berakhir pada pukul 6.15 pagi dan kami bersahur ketika dalam perjalanan pulang ke Mantin, Negeri Sembilan.

“Kemuncak kayuhan adalah pendakian Bukit Miku, Rembau berkecerunan 45 darjah sejauh dua kilometer di dalam kawasan hutan pada pukul 2 pagi,” kata­nya.

Menurut Khairul Anuar, faktor keletihan merupakan cabaran yang terpaksa ditempuhi mereka melakukan kayuhan jarak jauh setelah berpuasa di siang hari.

Katanya, suhu sejuk dan kenderaan yang kurang di lebuh raya itu antara faktor menarik semasa kayuhan tersebut.

“Untuk Syawal pula, kami akan mengadakan Kayuhan Bakar Lemak Raya sejauh 250 kilometer merentasi Hulu Langat, Kuala Lumpur, Bentong, Karak, Kuala Pilah dan kembali ke Hulu Langat dalam masa 12 jam.

“Seramai 10 peserta akan menyertai kayuhan dengan tujuan mengembalikan kecergasan tubuh selepas kenaikan berat badan dalam musim perayaan,” ujarnya.

Tambah Khairul Anuar, boleh dikatakan aktiviti kayuhan jarak jauh LSR diadakan setiap bulan untuk mencapai kepuasan berbasikal.

Sesiapa yang ingin menyertai kayuhan Kelab LSR, sila hubu­ngi beliau di talian 013-3957650 atau lawati Facebook LSR LEKAS Riders.