Salah seorang wakil penduduk, Junaidi Jamaluddin, 39, berkata, projek yang melewati kawasan kediaman penduduk itu mengakibatkan beberapa kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang belum pernah dialami penduduk sejak pelaksanaan projek bermula awal tahun ini.

Katanya, pembinaan lebuh raya itu terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk hingga melahirkan rasa bimbang sekiranya berlaku runtuhan ta­nah yang mampu meragut nyawa terutama warga rumah anak ya­tim dan pelajar tahfiz berdekatan.

“Ketiadaan papan tanda amaran mencukupi yang dipasang pihak pemaju mengeruhkan lagi keadaan lebih-lebih lagi keluar masuk jentera berat menggunakan jalan yang turut dilalui penduduk setempat.

“Pergerakan penduduk untuk keluar masuk ke jalan kampung utama iaitu Jalan Felcra Sungai Semungkis amat berbahaya bagi ibu bapa yang mahu mengambil dan menghantar anak mereka ke sekolah agama di sini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.

Selain kira-kira lebih 40 buah rumah penduduk, turut terjejas adalah penghuni Maahad Tahfiz Darul Huffaz, Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah serta Kem Motivasi An-Naim Semungkis yang berdepan kejadian banjir lumpur.

Sementara itu Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kegagalan pihak kontraktor mematuhi perintah Jabatan Alam Sekitar (JAS) terutama pembinaan zon penampan sungai, telah menyebabkan pencemaran dan kerosakan pada 27 batang anak sungai.

Dakwanya, JAS telah menge­luarkan notis pemberhentian kerja pada 24 Oktober lalu namun pembinaan lebuh raya itu masih diteruskan hingga ke hari ini.

“Kami menggesa pihak ber­kaitan agar menghentikan projek pembinaan lebuh raya ini serta-merta dan memulakan kerja-kerja pemuliharaan cerun dan zon penampan sungai agar ha­kisan atau mendapan tanah dapat di­elakkan daripada menjadi tragedi berdarah kelak.

“Audit alam sekitar juga perlu segera dilakukan bagi mengesan isu-isu berkaitan dan langkah penyelesaian yang perlu diambil selain sentiasa berhubung secara lebih dekat dan kerap bersama penduduk setempat supaya setiap pergerakan projek diketahui penduduk untuk tujuan waspada,” jelasnya.