Koordinator Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil (PTST), Prof. Datuk Dr. N.S. Rajendran berkata, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan amat prihatin dengan memberi akses pendidikan awal bagi keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, rata-rata keluarga yang tinggal sekitar Taman Medan dan Taman Maju Jaya tidak mampu menghantar ke prasekolah swasta manakala prasekolah Tamil paling hampir terletak di Jalan Templer agak jauh kira-kira 30 minit waktu perjalanan.

“Prasekolah SJKT Seaport yang baharu memulakan sesi tahun ini menerima 17 kanak-kanak yang akan mengikuti pendedahan awal kepada sistem pendidikan apabila berada dalam satu pentadbiran yang sama dengan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan rasmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling ke Prasekolah SJKT Seaport, Kampung Lindungan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE