Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau laporan polis daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa mengenai kejadian tersebut yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 9 malam di Taman Batu Tiga, di sini.

“Walaubagaimanapun, pihak polis akan tetap mengambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya ke atas maklumat yang disebarkan itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Maklumat mengenai kejadian seorang pelajar Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya itu diculik mula tersebar menerusi media sosial malam semalam apabila mangsa, Mohd. Asyraf Junaidi, 10, dikatakan hilang di hadapan rumahnya.

Dalam pada itu, Shafien turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kejadian jenayah supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kita juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebar dan berkongsi maklumat palsu kerana tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkitkan keresahan masyarakat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE