Tambah meresahkan Muhammad Thaqif Iskandar, pembedahan untuk menggantikan tulang pahanya dengan besi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu perlu dilakukan segera kerana keadaan kesihatanya yang semakin mendesak.

Ibunya, Ikma Haryani Awang Nik berkata, dia dan suami, Miskam Mahmood, 44, hanya berniaga secara kecil-kecilan di hadapan Masjid Azhariah di Seksyen 18 di sini dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan yang tidak cukup untuk menampung kos pembedahan Muhammad Thaqif Iskandar.

Tambahnya, selain Mu­ham­mad Thaqif Iskandar, mereka juga mempunyai dua lagi anak iaitu Muhammad Taufiq Isaac, 10, dan Zaara Ma­laeka, 5 tahun.

“Pada 28 Februari lalu, Muhammad Thaqif Iskandar disahkan menghidap kanser tulang. Kos pembedahan sebanyak RM26,000 diperlukan untuk menggantikan satu pertiga tulang pehanya dengan tulang besi tetapi dengan pendapatan sekarang kami tidak mampu menyediakannya.

“Apa yang membimbangkan saya, bengkak pada pahanya semakin besar dan kesihatannya juga akan semakin merosot jika tidak dirawat dengan segera,” katanya ketika ditemui pembe­rita di PPUM. baru-baru ini.

Prihatin dengan nasib yang menimpa Muhammad Thaqif Iskandar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua'adzam Shah Yaakop meluangkan masanya melawat pelajar terbabit.

Dalam pada itu, Ikma Har­yani berkata, mereka sebenarnya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak dalam perkara itu namun mereka tidak lagi mampu menampung kos perubatan kerana wang simpanan yang sudah menyusut.

“Muhammad Thaqif Iskandar sebelum ini sudah banyak kali melalui prosedur rawatan antaranya menjalani pemeriksaan biopsy dan ujian Pengimejan Resonans Magnet (MRI) sebelum penyakit itu dikesan.

“Sehubungan itu, saya me­rayu kepada orang ramai untuk mendapatkan sedikit bantuan untuk menampung keperluan perubatannya,” katanya.

Sumbangan boleh dibuat melalui akaun CIMB Bank 7012851283 di atas nama Ikma Har­yani atau menghubungi talian 013-2519185,” katanya.