Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek bernilai RM180 juta yang dilaksanakan oleh Kumpulan Mah Sing itu melibatkan sebuah plaza tol dan mampu memendekkan jarak perjalanan ke Kuala Lumpur dari 25 kilometer (km) kepada 19 km.

“Ia juga memberi akses mudah kepada 69,000 penduduk Southville City dan menjimatkan masa dan jarak perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Persimpangan Bertingkat Southville City Le­buhraya Utara-Selatan di sini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh; Pengerusi Kumpulan Mah Sing, Jeneral Tan Sri Yaacob Mat Zain dan Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim.

Dalam perkembangan sama, Yaacob berkata, persimpangan bertingkat itu mampu menarik pembangunan baharu ke kawasan Bangi seterusnya mening­katkan permintaan hartanah di kawasan itu.

“Peningkatan penduduk akan menarik pembukaan kedai baharu, pusat beli-belah dan kemudahan lain.

“Selain kediaman, Southville City turut menawarkan 236 unit kedai Savanna Lifestyle dan Boulevard,” katanya.

Tambah beliau, Southville City turut melancarkan beberapa lagi fasa seperti tower C dan D Cerrado Residential Suites, Sensa Residential Suites dan pembukaan galeri jualan baharu.