Demikian bayangan yang diberikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz yang mana beliau menyifatkan perpaduan merupakan aspek terpenting yang menjadi penentu kepada kejayaan matlamat itu.

Dengan perkembangan teknologi maklumat ketika ini katanya, usaha mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama sepatutnya menjadi lebih mudah dan berkesan dengan adanya penyebaran maklumat secara meluas melalui media massa serta media sosial.

"Bagaimanapun, masih ada segelintir pihak yang menyalahgunakan media-media baharu dengan mencetuskan perasaan curiga serta permusuhan antara kaum dan agama melalui maklumat atau komen-komen yang menyentuh sensitiviti melibatkan perkara-perkara tertentu.

"Malah, sikap tidak bertanggungjawab itu tidak terkecuali membabitkan pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang sering mengadu-domba serta menghasut pemikiran rakyat pelbagai kaum dan agama hanya kerana mahu duduk di atas kerusi empuk di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sukaneka Bandar Puteri, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.