Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 pagi itu, operasi membawa keluar tapir seberat 300 kilogram daripada longkang sedalam satu meter itu terpaksa menggunakan jentolak.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abd. Rahim Othman berkata, seramai 12 anggota Perhilitan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 9.30 pagi.

“Setibanya di lokasi, kita menemukan tapir dewasa dalam keadaan sedar dan mengalami luka ringan di bahagian badan berada di dalam longkang yang sempit bersebelahan kawasan perumahan.

“Kita telah memberikan rawatan awal dan ubat pelali kemudiannya menyerahkan kepada doktor veterinar sebelum operasi pemindahan. Selain itu, kita juga menggunakan jentolak untuk mengangkat tapir dan diletakkan di dalam sebuah kotak khas,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Abd. Rahim, operasi mengangkat tapir dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Klang, polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Tapir ini dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk sesi pemantauan dan rawatan selanjutnya.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berikutan habitat tapir terdekat adalah di Jugra, Kuala Langat yang jaraknya kira-kira 32 kilometer dari lokasi kejadian,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE