Dia benar-benar terkejut apabila motosikal miliknya dikunci penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebaik kembali semula ke lokasi parkir yang diletakkan berhampiran petak ku­ning di sebuah kawasan komersial di Bandar Sunway.

Rasa marah, terkilan bercampur baur dalam diri anak muda itu kerana dia sendiri tidak tahu menahu tentang tindakan pe­nguatkuasaan yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu.

Situasi itu bukan sahaja dihadapi Sufian, sebaliknya ramai lagi penunggang motosikal ter­utama yang datang dari luar Su­bang Jaya.

Pelbagai reaksi diterima daripada orang ramai berhubung pelaksanaan operasi itu terutama dalam kalangan penunggang motosikal.

Rata-rata yang ditemui me­nyi­fatkan operasi kapit motosikal atau E-Grip yang dilaksanakan MPSJ bermula 1 Julai lalu adalah sesuatu yang baik bagi mendisip­linkan penunggang.

Namun tidak kurang juga yang menganggap tindakan itu sesuatu yang tidak masuk akal dan menyusahkan berikutan masalah kekurangan parkir.

Tinjauan Utusan Malaysia di Bandar Sunway hari ini mendapati, penunggang terus berdegil meletakkan motosikal mereka sesuka hati sehingga menyebabkan halangan lalu lintas.

Berdasarkan pemerhatian, selain petak pili bomba, ruang parkir orang kurang upaya dan laluan siar kaki antara yang menjadi ‘sasaran’ penunggang motosikal.

Bagaimanapun hasil pemerhatian sepanjang tempoh dua jam Utusan Malaysia di bangunan komersial mendapati alasan tersebut tidak berasas sama sekali apabila masih banyak petak parkir kosong di kawasan itu.

Utusan Malaysia difahamkan, tindakan penguatkuasaan ini ditumpukan di kawasan yang ba­nyak aduan dan kritikal di kawasan komersial di sekita Su­bang Jaya dan Bandar Sunway.