Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, setakat pukul 10 pagi ini, jumlah pengundi yang keluar di kebanyakan pusat mengundi di kedua-dua DUN berkenaan masih kurang.

“Mungkin ramai yang mahu mengundi di waktu petang kerana mengambil peluang untuk berehat di pagi hujung minggu.

“Namun, saya nasihatkan mereka untuk keluar awal ekoran cuaca yang tidak menentu ketika ini dan buat masa ini juga mereka tidak perlu beratur untuk mengundi kerana kebanyakan pusat mengundi masih kurang orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Othman memberitahu, pihaknya juga giat membuat hebahan melalui radio dan media massa selain menggunakan kenderaan Jabatan Penerangan di kawasan PRK untuk meminta orang ramai keluar mengundi.

“Ini adalah tanggungjawab anda untuk memilih pemimpin dan kita harap jumlah keluar mengundi untuk PRK kali ini lebih tinggi daripada PRK sebelum ini.

“Apa pun kita bersyukur kerana setakat ini proses pengundian berjalan dengan lancar dan sepanjang tempoh kempen selama 21 hari lalu, tidak ada aduan rasmi yang kita terima,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE